KUCHING: Sarawak, Kuching khasnya sekali lagi akan menghoskan acara bertaraf dunia apabila ‘Sarawak Dialogue 2018’ diadakan pada 26 hingga 28 Februari ini di sebuah hotel terkemuka di sini.

Menurut wakil penganjur ELDasia PLT, William Jacques dialog itu merupakan persidangan pelaburan yang mengetengahkan Sarawak kepada dunia daripada aspek peluang-peluang pelaburan ditawarkan di negeri ini.

Dialog yang ditaja oleh kerajaan negeri itu katanya, akan memfokus kepada empat bidang utama iaitu ekonomi digital, pelancongan, kesihatan dan pendidikan.

“Sepanjang dialog ini, kita akan mengetengahkan penceramah utama antaranya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Berhad Malaysia Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Saintis dan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Negeri Sarawak Profesor Juddutt (Jack) Singh, CEO NeuroSky Inc, Amerika syarikat Stanley Yang dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah,” katanya.

William menjelas bahawa penceramah-penceramah utama ini pakar dalam bidang masing-masing iaitu ekonomi digital, pelancongan, kesihatan dan pendidikan.

Sebagai contoh katanya, Tony Fernandes akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Flying High’ pada hari pertama dialog iaitu 26 Februari 2018 sekitar jam 9.50 pagi.

Profesor Jugdutt pula akan membentangkan ‘Pelan Tindakan Digital Sarawak’ manakala Stanley Yang akan membentangkan topik ‘Dedahkan Potensi Anda – Segalanya di Dalam Minda’.

“Suatu yang menarik ialah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (Datuk) Abdul Karim akan bercakap mengenai Pelan Tindakan Pelancongan Sarawak,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dijadual menyempurnakan majlis perasmian Sarawak Dialogue 2018 pada 26 Februari 2018, jam 9 pagi.

Dialog itu dibuka kepada individu-individu mewakili negeri, agensi dan sektor korporat terpilih.

Utusan Borneo (Sabah)

Source: https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20180203/282273845808448